Mazmur 53 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Menurut lagu Mahalat. Renungan Daud. 1 Orang bodoh berkata dalam hatinya, “Tidak ada Allah.” Mereka rosak akhlak, dan telah melakukan perbuatan keji; tiada yang berbuat baik. 2 Allah memandang dari syurga kepada anak-anak manusia untuk melihat kalau ada yang mengerti, yang mencari Allah. 3 Semuanya telah berpaling, bersama-sama rosak akhlak; tiada yang berbuat baik, tidak, tiada seorang pun. 4 Tidakkah orang yang melakukan kejahatan ini tahu — mereka merampas hak umat-Ku dan tidak berseru kepada Allah? 5 Sekarang mereka akan ditimpa ketakutan yang besar, mereka yang tidak mengenal takut dahulu. Kerana Allah telah menyerakkan tulang orang yang hendak menyerang kamu, umat-Nya; kamu telah menumpaskan mereka, kerana Allah benci akan mereka. 6 Semoga penyelamatan Israel datang dari Sion! Apabila Allah memulihkan keadaan umat-Nya, bergembiralah Yakub dan bersukacitalah Israel. |