Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 51 - Alkitab Versi Borneo


Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud apabila ditegur oleh Nabi Natan kerana berzina dengan Batsyeba.

1 Kasihanilah aku, ya Allah, demi kasih setia-Mu yang kekal; demi belas kasih-Mu yang melimpah hapuskanlah dosaku.

2 Bersihkan aku daripada kejahatanku, sucikan aku daripada dosaku.

3 Kerana aku mengakui kesalahanku, dan sentiasa sedar akan dosaku.

4 Kepada-Mu, hanya kepada-Mu, aku berdosa dan melakukan kejahatan di pandangan-Mu, maka Engkau didapati benar dalam kata-kata-Mu, dan penghakiman-Mu tidak bercela.

5 Aku telah dilahirkan dalam kejahatan, dan dalam dosa ibuku mengandungkan aku.

6 Engkau menghendaki kebenaran dalam diri; dan di lubuk jiwaku Engkau akan mengajarku mengenal kebijaksanaan.

7 Bersihkan aku dengan hisop, supaya aku suci; basuhlah aku sehingga lebih putih daripada salji.

8 Perdengarkan kegembiraan dan keriaan kepadaku; supaya tulang-tulangku yang Kaupatahkan dapat bersukacita.

9 Sembunyikan wajah-Mu daripada dosaku dan hapuskan segala kejahatanku.

10 Ciptakan hati yang bersih dalam diriku, ya Allah, dan pulihkan semangat waja dalam jiwaku.

11 Jangan singkirkan aku dari hadirat-Mu dan jangan ambil Roh Kudus-Mu daripadaku.

12 Bahagiakan aku semula dengan penyelamatan-Mu dan kuatkan aku dengan Roh-Mu yang pemurah.

13 Maka aku akan mengajar orang yang ingkar tentang jalan-Mu, dan orang berdosa akan kembali taat kepada-Mu.

14 Selamatkan aku daripada kesalahan menumpahkan darah, ya Allah, Allah Penyelamatku, maka suaraku akan lantang menyanyikan perbenaran-Mu.

15 Ya Tuhan, bukakan mulutku, aku akan mengisytiharkan puji-pujian bagi-Mu.

16 Kalaulah Engkau bersukacita dengan korban, tentu kupersembahkan; Engkau tidak berkenan akan korban bakaran.

17 Korban untuk Allah ialah hati yang hancur; hati yang hancur dan sesal, Ya Allah, tidak akan Kauremehkan.

18 Limpahkanlah rahmat-Mu kepada Sion, ya Allah; binalah tembok-tembok Yerusalem.

19 Maka Engkau akan berkenan dengan persembahan yang benar, dengan korban bakaran; mereka akan mempersembahkan lembu korban di mazbah-Mu.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan