Mazmur 49 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Mazmur puak Korah. 1 Dengarlah, wahai segala bangsa; pasang telingamu, wahai semua penghuni dunia, 2 baik hina atau mulia, kaya atau miskin: 3 Lidahku akan menuturkan kebijaksanaan; dan renungan hatiku akan memberi pengertian. 4 Aku akan meneliti amsal; dan menerangkan ertinya sambil memetik kecapi: 5 Mengapa aku harus takut dalam masa kesusahan, ketika kejahatan yang memburuku telah mengepungku — 6 mereka yang bergantung kepada kekayaan dan berbangga akan harta yang banyak? 7 Sesungguhnya, seorang pun daripada mereka tidak berdaya menebus saudaranya dengan membayar harga tebusannya kepada Allah — 8 kerana harga tebusan jiwa mereka sungguh mahal, maka jiwa mereka akan musnah — 9 mereka tidak dapat hidup selama-lamanya dan tidak dapat mengelakkan kubur. 10 Setiap manusia melihat orang bijaksana meninggal dunia; begitu juga orang bodoh dan orang tolol lalu meninggalkan kekayaan mereka kepada orang lain. 11 Dalam hati mereka menyangka rumah mereka akan kekal selama-lamanya, akan menjadi kediaman zuriat mereka turun-temurun, mereka menamakan tanah dengan nama mereka. 12 Namun demikian manusia, meskipun terhormat, tidak akan kekal; sama seperti haiwan, dia akan mati. 13 Inilah nasib orang yang bodoh, dan keturunan mereka yang menyokong kata-kata mereka. Sela 14 Seperti domba mereka berbaring di kubur, maut akan membaham mereka. Orang yang tulus akan berkuasa atas mereka setelah pagi nanti; dan jasad mereka akan dimusnahkan di kubur, jauh dari tempat kediaman mereka. 15 Kerana Allah yang akan menyelamatkanku dari kubur; Dia akan membawaku bersama-Nya. Sela 16 Jangan runsing ketika melihat orang menjadi kaya-raya, dan keluarganya semakin dimuliakan; 17 kerana apabila dia mati, tiada suatu pun dibawanya, kemuliaannya tidak turut masuk ke kubur. 18 Walaupun dia berasa bahagia ketika hidup — kerana orang yang berjaya sentiasa dipuji — 19 namun dia akan menyusul nenek moyangnya, dan tidak akan melihat cahaya selama-lamanya. 20 Orang yang dimuliakan tetapi tidak mengerti samalah seperti haiwan yang mati. |