Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 45 - Alkitab Versi Borneo


Takhta-Mu kekal selama-lamanya Untuk pemimpin muzik. Menurut lagu “Bunga Bakung.” Renungan puak Korah. Lagu kasih.

1 Hatiku melimpah dengan tema yang indah, aku menyanyikan ciptaanku tentang Raja; lidahku seperti pena pujangga.

2 Engkau lebih hebat daripada anak-anak manusia; kasih kurnia tercurah di bibir-Mu, maka Allah memberkati-Mu selama-lamanya.

3 Ikatkan pedang-Mu di pinggang, wahai Raja yang perkasa; dengan kemuliaan dan kedaulatan-Mu.

4 Dan dalam kedaulatan-Mu tujulah kemenangan bagi kebenaran, kerendahan hati dan keadilan; maka tangan kanan-Mu akan mengajar-Mu pelbagai perkara yang menakjubkan.

5 Anak-anak panah-Mu tajam menikam jantung musuh Raja; bangsa-bangsa rebah ke bawah kaki-Mu.

6 Takhta-Mu, ya Allah, kekal selama-lamanya; tongkat keadilan adalah tongkat kerajaan-Mu.

7 Engkau mencintai perbenaran dan membenci kejahatan; oleh itu Allah, Allah TUHAN-Mu, telah mengurapi-Mu dengan minyak kebahagiaan lebih daripada teman-teman-Mu.

8 Seluruh pakaian diharumi damar wangi, gaharu dan cendana dari istana-istana gading yang menggirangkan hati-Mu.

9 Puteri raja-raja antara perempuan terhormat di keliling-Mu; di sebelah tangan kanan-Mu berdiri permaisuri berhias emas dari Ofir.

10 Dengarlah, wahai anak perempuan, pasang telingamu baik-baik dan timbangkan kata-kataku: Lupakan bangsamu dan rumah ayahandamu.

11 Kecantikanmu memikat hati Raja; hormati Dia kerana Dia Tuanmu,

12 Puteri Tirus akan datang membawa hadiah, orang kaya akan cuba mengambil hati-Mu.

13 Puteri penuh kemuliaan di istana; pakaiannya ditenun dengan benang emas.

14 Dia akan dibawa menghadap Raja dengan pakaian aneka warna; anak-anak dara yang mengiringnya akan menghadap-Mu.

15 Dengan gembira dan sorakan ria mereka akan dibawa; mereka akan masuk ke istana Raja.

16 Anak-anak-Mu akan menggantikan nenek moyang-Mu; Engkau akan merajakan mereka di serata bumi.

17 Dengan nyanyianku ini nama-Mu akan diingati turun-temurun; maka bangsa-bangsa akan memuji-Mu selama-lamanya.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan