Mazmur 42 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Renungan puak Korah. 1 Seperti rusa merindui air sungai, demikianlah jiwaku merindui-Mu, ya Allah. 2 Jiwaku dahaga akan Allah, Allah yang hidup. Bilakah aku akan datang ke hadirat Allah? 3 Air mataku menjadi makananku siang malam, manakala mereka terus-menerus berkata kepadaku, “Di manakah Allahmu?” 4 Apabila kukenang segala ini kucurah keluar seluruh jiwaku: kerana dahulu aku pergi bersama orang ramai, ke Rumah Allah, dengan sorak-sorai kegembiraan dan puji-pujian bersama orang ramai menyambut hari mulia. 5 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa engkau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku. 6 Ya Allahku, jiwaku nestapa dalam diriku; maka aku akan ingat kepada-Mu dari tanah Yordan, dan puncak Gunung Hermon — serta dari Bukit Mizar. 7 Jiwaku bagai dipanggil-panggil ketika mendengar deru air terjun-Mu; segala ombak dan gelombang-Mu telah menenggelamkan aku. 8 TUHAN akan melimpahkan kasih-Nya pada siang hari, dan pada waktu malam nyanyian-Nya akan menemaniku — doa kepada Allah hidupku. 9 Aku akan berkata kepada Allah Batu Pejalku, “Mengapa Engkau melupakan aku? Mengapa aku bersedih, kerana ditindas musuh?” 10 Seperti mematahkan tulang-tulangku, musuhku mengejekku, dengan berkata kepadaku sepanjang hari, “Di manakah Allahmu?” 11 Mengapa kau nestapa, wahai jiwaku? Mengapa kau resah gelisah? Berharaplah kepada Allah, kerana aku akan memuji-Nya, Penyelamatku dan Allahku. |