Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 40 - Alkitab Versi Borneo


Untuk pemimpin muzik. Mazmur Daud.

1 Aku menantikan TUHAN dengan sabar; lalu Dia berpaling kepadaku dan mendengar rayuanku.

2 Dia mengeluarkanku daripada lubang yang dahsyat, daripada tanah liat berpaya; dan meletakkan aku berpijak di atas bukit batuan serta menetapkan langkahku.

3 Dia telah meletakkan nyanyian baru di bibirku, puji-pujian kepada Allah kita. Ramai yang akan melihat dan berasa takut lalu percaya kepada TUHAN.

4 Diberkatilah orang yang menjadikan TUHAN kepercayaannya, dan tidak gentar terhadap orang angkuh serta pendusta.

5 Sungguh banyak, ya TUHAN, Ya Allahku, perbuatan menakjubkan yang telah Kaulakukan. Dan ingatan-Mu kepada kami tidak dapat disebutkan satu persatu; kalaulah aku cuba mengisytiharkannya, banyaknya tidak terkira.

6 Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah membukakan telingaku; persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.

7 Kemudian aku berkata, “Lihatlah, aku telah datang — dalam naskhah kitab ada tersurat tentangku.

8 Aku sukacita menjalankan kehendak-Mu, ya Allahku; dan hukum-Mu tertera dalam hatiku.”

9 Aku telah mengisytiharkan berita baik tentang perbenaran di perhimpunan besar; sesungguhnya aku tidak mengekang mulutku, Ya TUHAN, Engkau sendiri mengetahui.

10 Aku tidak menyembunyikan perbenaran-Mu dalam hatiku; aku telah mengisytiharkan kesetiaan-Mu dan penyelamatan-Mu. Aku tidak merahsiakan kasih-Mu dan kebenaran-Mu daripada perhimpunan besar.

11 Janganlah berhenti memberikan belas kasihan-Mu, ya TUHAN; peliharakanlah aku sentiasa dengan kasih-Mu dan kebenaran-Mu.

12 Kerana terlalu banyak kejahatan mengelilingiku; dosaku telah dapat memburuku, tidak terdaya aku mengangkat mata. Bilangannya melebihi rambut di kepalaku, maka hatiku tidak bermaya menghadapinya.

13 Ya TUHAN, berkenanlah untuk menyelamatkanku; Ya TUHAN, segeralah tolong aku.

14 Biar mereka dimalukan dan dikelirukan, mereka yang ingin meragut nyawaku; biar mereka berundur dan menanggung aib mereka yang hendak memusnahkan aku.

15 Biar mereka berundur kerana malu, mereka yang mengejekku, “Aha! Aha!”

16 Biar semua yang mencari-Mu bergembira dan bersukacita kerana-Mu; dan biar mereka yang cinta akan penyelamatan-Mu berkata sentiasa, “TUHAN Maha Tinggi!”

17 Aku miskin dan sesak; tetapi Tuhan ingat kepadaku. Engkaulah penolong dan penyelamatku; janganlah berlengah-lengah, ya Allahku.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan