Mazmur 39 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Untuk Yedutun. Mazmur Daud. 1 Aku telah berkata, “Aku akan menjaga langkahku takut nanti aku berdosa dengan lidahku; aku akan mengekang mulutku ketika orang zalim di hadapanku.” 2 Aku senyap membisu, kebaikan pun tidak kututurkan, lalu kesedihanku berkecamuk. 3 Hatiku panas, ketika aku bermenung, apinya menyala; lalu lidahku berkata: 4 “Ya TUHAN, tunjukkanlah aku bila ajalku dan berapa lama aku akan hidup; supaya aku tahu betapa fananya aku. 5 Sememangnya Engkau telah membuat hidupku begitu singkat; dan usiaku bagaikan tiada bagi-Mu. Sebenarnya manusia dalam keadaan terbaik pun hanyalah sehembus nafas. Sela 6 Sesungguhnya, setiap manusia melangkah seperti bayang-bayang: Sesungguhnya, dia sibuk dengan sia-sia; dia menimbun harta, dan tidak tahu siapa mendapatnya nanti. 7 Sekarang, ya Tuhan, apa yang kunantikan? Harapanku tertumpu kepada-Mu. 8 Bebaskanlah aku daripada segala dosaku; jangan biarkan aku diejek oleh orang bodoh. 9 Aku membisu; aku tidak membuka mulutku, kerana Engkau yang melakukannya. 10 Sembuhkanlah penyakit yang Kautimpakan kepadaku; aku binasa di bawah hukuman-Mu. 11 Apabila Engkau memurkai dan menghukum manusia kerana dosa mereka; Engkau membuat kehebatannya lenyap seperti terbangnya rama-rama — sesungguhnya setiap manusia itu hanya sehembus nafas. Sela 12 Dengarlah doaku, ya TUHAN, dengarlah rayuanku; jangan berdiam diri melihat air mataku. Kerana aku orang asing bagi-Mu, menumpang untuk sementara, seperti nenek moyangku. 13 Alihkan renungan tajam-Mu daripadaku, supaya tenagaku pulih sebelum aku pergi dan tiada lagi.” |