Mazmur 31 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. 1 Kepada-Mu, ya TUHAN, aku berlindung; jangan biarkan aku menanggung malu; selamatkanlah aku kerana perbenaran-Mu. 2 Condongkan telinga-Mu kepadaku, selamatkanlah aku dengan segera; jadilah batu pejal tempat aku berlindung, kubu pertahanan untuk keselamatanku. 3 Kerana Engkaulah batu pejal dan kubuku; oleh itu, demi nama-Mu, bimbing dan pandulah aku. 4 Lepaskan aku daripada jerat yang dipasang mereka untukku dalam rahsia, kerana Engkaulah kekuatanku. 5 Ke dalam tangan-Mu kuserahkan rohku; Engkau telah menebusku, Ya TUHAN, Allah yang setia. 6 Aku membenci penyembah berhala yang tidak berguna; aku percaya kepada TUHAN. 7 Aku akan gembira dan bersukacita dengan kasih-Mu, kerana Engkau melihat penderitaanku; Engkau tahu segala kesusahan yang menimpaku. 8 Engkau tidak menyerahkan aku ke dalam cengkaman musuh; Engkau telah menjejakkan kakiku di tempat yang lapang. 9 Kasihanilah aku, ya TUHAN, kerana aku dalam kesusahan; mataku kian musnah oleh kesedihan, ya, seluruh jiwa ragaku. 10 Kerana hidupku habis dengan berduka dan usiaku dengan mengeluh; kekuatanku hilang akibat dosaku, dan tulang-tulangku semakin rapuh. 11 Aku dicemuh oleh segala musuhku, tetapi lebih-lebih lagi oleh jiran tetanggaku; aku dipandang jijik oleh kenalanku — sesiapa melihatku di jalan lari daripadaku. 12 Aku dilupakan seperti orang yang sudah mati, luput dari ingatan; aku seperti sebuah bekas yang pecah. 13 Aku mendengar ramai orang memfitnahku; ketakutan mengepungku; mereka sedang berpakat menentangku mereka merancang untuk meragut nyawaku. 14 Namun aku tetap percaya kepada-Mu, ya TUHAN; aku berkata, “Engkaulah Allahku.” 15 Usiaku berada dalam tangan-Mu; selamatkanlah aku daripada segala musuhku dan daripada mereka yang memburuku. 16 Limpahkan cahaya wajah-Mu ke atas hamba-Mu; selamatkan aku demi kasih setia-Mu. 17 Jangan biarkan aku malu, ya TUHAN, kerana aku telah berseru kepada-Mu; biarlah orang zalim ditimpa malu biarlah mereka membisu dalam kubur. 18 Biar lidah mereka yang berdusta dikelukan, lidah yang menuturkan kata-kata biadab dengan sombong dan menghina terhadap orang yang benar. 19 Betapa limpahnya kebaikan-Mu, yang telah Kausediakan untuk mereka yang takut kepada-Mu, yang telah Kausiapkan di hadapan manusia untuk mereka yang berlindung dalam-Mu. 20 Engkau akan menyembunyikan mereka dalam naungan hadirat-Mu daripada pakatan jahat manusia; Engkau akan menyembunyikan mereka di tempat selamat daripada serangan lidah manusia. 21 Segala puji bagi TUHAN, kerana Dia telah menunjukkan aku kebaikan-Nya yang menakjubkan ketika aku di kota yang dikepung. 22 Kerana aku telah berkata dengan tidak sabar, “Aku telah disingkirkan daripada pandangan-Mu!” Namun Engkau mendengar suaraku merayu apabila aku berseru kepada-Mu. 23 Kasihilah TUHAN, wahai umat-Nya yang warak! Kerana TUHAN memeliharakan orang yang setia, dan membalas sepenuhnya orang yang angkuh. 24 Tabahkan dirimu, teguhkan hatimu, semua kamu yang berharap kepada TUHAN. |