Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 30 - Alkitab Versi Borneo


Mazmur Daud. Nyanyian. Untuk pentahbisan tempat beribadat.

1 Aku akan memuji-Mu, ya TUHAN, kerana Engkau telah menyelamatkan aku dan tidak membiarkan seteruku bergembira menumpaskan aku.

2 Ya TUHAN, ya Allahku, aku telah berseru kepada-Mu lalu Engkau menyembuhkan aku.

3 Ya TUHAN, Engkau telah membawa nyawaku keluar dari kubur; Engkau telah melanjutkan usiaku supaya aku tidak masuk ke lubang maut.

4 Nyanyikanlah puji-pujian kepada TUHAN, wahai umat-Nya yang warak; dan bersyukurlah mengingati nama-Nya yang suci.

5 Kerana kemurkaan-Nya cuma sebentar, keredaan-Nya sepanjang kehidupan kekal; tangisan mungkin berlangsung semalaman, tetapi kegembiraan muncul sewaktu pagi.

6 Ketika aku berjaya aku berkata, “Aku tidak akan goyah.”

7 TUHAN, dengan keredaan-Mu, Engkau mengukuhkan gunungku; dahulu ketika Engkau menyembunyikan wajah-Mu, aku berasa bimbang.

8 Aku telah berseru kepada-Mu, ya TUHAN; dan kepada-Mu aku telah merayu:

9 “Apakah gunanya jika darahku tertumpah, dan aku masuk ke kubur? Adakah debu akan memuji-Mu dan mengisytiharkan kesetiaan-Mu?

10 Dengarlah, ya TUHAN, dan kasihanilah aku; Ya TUHAN, tolonglah aku.”

11 Engkau telah mengubah kesedihanku menjadi tarian riang; Engkau telah melucutkan kedukaanku dan meliputiku dengan keriaan,

12 supaya aku menyanyikan puji-pujian untuk-Mu sepanjang masa. Ya TUHAN, ya Allahku, aku akan bersyukur kepada-Mu selama-lamanya.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan