Mazmur 3 - Alkitab Versi BorneoMazmur Daud ketika dia melarikan diri daripada anaknya Absalom. 1 Ya TUHAN, betapa ramainya musuhku! Betapa ramai yang bangkit melawanku! 2 Ramai yang berkata tentangku, “Allah tidak akan menyelamatkannya.” Sela 3 Tetapi Engkau ialah perisai yang melindungiku, ya TUHAN; Engkau mengurniakan kemuliaan dan mengangkat kepalaku. 4 Kepada TUHAN aku berseru lantang, dan Dia menyahut seruanku dari bukit suci-Nya. Sela 5 Aku baring dan tidur; aku terjaga semula, kerana TUHAN memeliharaku. 6 Aku tidak akan takut kepada puluhan ribu yang bersiap sedia melawanku dari setiap pihak. 7 Bangkitlah, ya TUHAN! Selamatkanlah aku, Ya Allahku! Palulah semua musuhku di tulang rahang mereka; patahkanlah gigi orang zalim. 8 Daripada TUHAN datang penyelamatan. Semoga Engkau memberkati umat-Mu. Sela |