Mazmur 21 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Mazmur Daud. 1 Raja akan bersukacita dengan kekuatan-Mu, ya TUHAN. Dan dengan penyelamatan-Mu betapa gembiranya dia! 2 Engkau telah memberinya hasrat hatinya dan tidak menolak permohonan yang disuarakannya. Sela 3 Engkau melimpahinya dengan berkat kebaikan; Engkau memakaikannya mahkota emas tulen. 4 Dia memohon hidup daripada-Mu, lalu Kaukurniakan — panjang umur untuk selama-lamanya. 5 Penyelamatan-Mu memberinya kemuliaan yang besar; Engkau mengurniainya kehormatan dan kedaulatan. 6 Kerana Engkau telah menjadikannya paling diberkati selama-lamanya Engkau membuatnya paling bahagia dengan kehadiran-Mu. 7 Kerana raja percaya penuh kepada TUHAN; dengan kasih setia Yang Maha Tinggi dia tidak akan dapat digugat. 8 Tangan-Mu akan memberkas semua musuh-Mu; kekuasaan-Mu akan dapat mencari mereka yang membenci-Mu. 9 Engkau akan membakar mereka dalam nyala api ketika Engkau murka. TUHAN akan menyambar mereka dalam kemurkaan-Nya, dan api itu akan memusnahkan mereka. 10 Segala zuriat mereka akan Kaulenyapkan dari bumi, dan keturunan mereka daripada kalangan anak manusia. 11 Kerana mereka telah berniat jahat terhadap-Mu, mereka menyusun rancangan yang tidak dapat mereka laksanakan. 12 Oleh itu, Engkau akan membuat mereka undur; Engkau akan membidik muka mereka dengan anak panah-Mu. 13 Maha Tinggi Engkau, ya TUHAN, dalam kekuatan-Mu; Kami akan menyanyi memuji kekuasaan-Mu. |