Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 17 - Alkitab Versi Borneo


Doa Daud.

1 Dengarlah rayuanku memohon keadilan, ya TUHAN; dengarlah rintihanku. Dengarlah doaku yang bukan daripada bibir dusta,

2 Pertahankanlah kebenaranku dari hadirat-Mu; semoga mata-Mu melihat apa yang benar.

3 Engkau telah menguji hatiku dan menelitiku pada waktu malam, Engkau telah mendugaku dan tidak menemui kecelaan; aku telah berazam memelihara lidahku daripada dosa.

4 Perihal perbuatan manusia — menurut kata-kata yang Engkau ucapkan aku taat akan perintah-Mu; aku menjauhi segala jalan orang yang ganas.

5 Langkahku tetap di jalan-Mu; dan kakiku tidak tergelincir.

6 Aku menyeru-Mu kerana Engkau akan mendengarku, ya Allah; dengarlah, dengarlah kata-kataku ini.

7 Tunjukkan kasih-Mu yang agung, dengan tangan kanan-Mu yang menyelamatkan semua yang bernaung kepada-Mu daripada mereka yang cuba meruntuhkan.

8 Peliharakanlah aku sebagai kesayangan-Mu; lindungi aku di bawah naungan-Mu

9 daripada orang zalim yang menyerangku, daripada musuh pemusnah yang mengepungku.

10 Mereka telah menutup hati daripada kebaikan, mereka menuturkan kata-kata angkuh.

11 Sekarang mereka mengepungku pada setiap langkah, mereka merenung sambil menjongkok di bumi.

12 Seperti singa yang ingin mengoyak-ngoyak mangsa, seperti singa muda mengendap di tempat rahsia.

13 Bangkitlah, ya TUHAN, hadapi dan tumbangkan musuhku; selamatkan nyawaku daripada orang zalim dengan pedang-Mu.

14 Dengan tangan-Mu, selamatkan aku daripada manusia sebegitu, ya TUHAN, daripada manusia duniawi yang mengumpul harta dalam hidup ini. Kaukenyangkan perut mereka yang Kaupelihara; anak-anak mereka cukup puas, dan mereka meninggalkan pusaka kepada zuriat.

15 Tetapi dalam perbenaran aku akan melihat wajah-Mu; aku akan bahagia sepenuhnya apabila terjaga di hadirat-Mu.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan