Mazmur 16 - Alkitab Versi BorneoDoa Daud. 1 Peliharakan aku, ya Allah, aku bernaung kepada-Mu. 2 Wahai rohku, kau telah berkata kepada TUHAN, “Engkaulah Tuhanku; tiada kebaikan bagiku selain Engkau.” 3 Dan orang salih di bumi ini, merekalah manusia terpuji yang membuatku sukacita. 4 Orang yang menyembah tuhan lain akan berganda deritanya. Aku tidak akan menerima persembahan minuman korban darah daripada mereka dan tidak akan menyebut nama mereka. 5 Ya TUHAN, Engkaulah warisan dan cawanku; Engkau memberiku rezeki untuk hidup. 6 Garis ukur terjatuh bagiku di tempat yang indah; sesungguhnya, warisan pusakaku sungguh baik. 7 Aku memuji TUHAN yang telah membimbingku; sesungguhnya pada waktu malam suara hatiku juga mengajarku. 8 Aku sentiasa menurut panduan TUHAN. Dia ada di sisi kananku, aku tidak akan goyah. 9 Maka hatiku bersukacita, dan lidahku bergembira; jasadku juga akan tenteram dalam harapan, 10 kerana Engkau tidak akan meninggalkan rohku di alam maut, dan Engkau tidak akan membiarkan Orang Suci-Mu reput. 11 Engkau akan menunjukkan aku jalan hidup; di hadirat-Mu sepenuh bahagia dirasai, di tangan kanan-Mu nikmat dikecapi selama-lamanya. |