Mazmur 148 - Alkitab Versi Borneo1 Pujilah TUHAN! Pujilah Dia dari langit, pujilah Dia di tempat-tempat tinggi. 2 Pujilah Dia, hai semua malaikat-Nya, pujilah Dia, hai angkatan syurga. 3 Pujilah Dia, hai matahari dan bulan, pujilah Dia, hai kamu semua bintang bercahaya. 4 Pujilah Dia, hai kamu langit di atas langit dan kamu air di atas segala langit. 5 Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana Dia telah memberikan perintah lalu mereka dicipta. 6 Dia juga menapakkan mereka selama-lamanya; Dia membuat ketetapan yang tidak akan lenyap. 7 Pujilah TUHAN dari bumi, hai kamu makhluk besar laut dan bawah lautan, 8 api dan hujan batu, salji dan awan, angin ribut yang menunaikan firman-Nya, 9 gunung-ganang dan segala bukit, pokok berbuah dan semua pokok araz, 10 haiwan dan segala lembu kerbau, binatang menjalar dan burung yang terbang, 11 raja-raja di bumi dan semua bangsa, putera-putera dan semua pemerintah di bumi, 12 pemuda dan gadis, orang tua dan kanak-kanak. 13 Biar mereka memuji nama TUHAN, kerana hanya nama-Nya ditinggikan; kemuliaan-Nya mengatasi bumi dan langit. 14 Dan Dia telah mengangkat tinggi tanduk umat-Nya, pujian seluruh umat-Nya yang warak, anak-anak Israel, umat yang dekat dengan-Nya. Pujilah TUHAN! |