Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 147 - Alkitab Versi Borneo

1 Pujilah TUHAN! Kerana menyanyikan pujian kepada Allah kita itu baik, serta menyenangkan, dan pujian itu indah!

2 TUHAN membina semula Yerusalem; Dia mengumpulkan umat Israel yang tersingkir.

3 Dia menyembuhkan mereka yang patah hati dan membalut luka mereka.

4 Dia menghitung bintang-bintang Dia memanggil setiap satu dengan namanya.

5 Maha Besar Tuhan kita dan Maha Kuasa; pengertian-Nya tidak ada batasan.

6 TUHAN mengangkat tinggi mereka yang rendah hati; Dia menghumbankan orang zalim ke tanah.

7 Menyanyilah kepada TUHAN dengan mengucapkan kesyukuran; nyanyikan pujian dengan iringan kecapi kepada Allah kita.

8 Dia melitupi langit dengan awan; Dia menyediakan hujan untuk bumi; Dia menumbuhkan rumput di atas gunung.

9 Dia memberi makanan kepada haiwan dan kepada anak-anak gagak yang menciap.

10 Dia tidak menikmati kekuatan kuda, Dia tidak berkenan akan manusia kerana kegagahannya;

11 TUHAN meredai mereka yang takut kepada-Nya, mereka yang berharapkan kasih setia-Nya.

12 Sanjunglah TUHAN, wahai Yerusalem; pujilah Allahmu, wahai Sion,

13 kerana Dia telah mengukuhkan palang-palang pintu pagarmu; Dia telah memberkati anak-anak di dalammu.

14 Dia menjadikan sempadan-sempadanmu aman dan memenuhimu dengan gandum terbaik.

15 Dia menghantarkan perintah-Nya ke bumi; firman-Nya sampai dalam seketika.

16 Dia memberi salji seperti bulu domba; Dia menaburkan air beku seperti abu.

17 Dia melemparkan hujan batu-Nya. Siapa yang dapat menghadapi kedinginan-Nya?

18 Dia menghantarkan firman-Nya lalu mencairkan semuanya; Dia membuat angin-Nya bertiup dan air mengalir.

19 Dia mengisytiharkan firman-Nya kepada Yakub, ketetapan dan hukum-Nya kepada Israel.

20 Dia tidak melakukan yang demikian kepada bangsa lain; dan hukum-hukum-Nya tidak diketahui oleh mereka. Pujilah TUHAN!

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan