Mazmur 132 - Alkitab Versi BorneoNyanyian ziarah. 1 TUHAN, ingatlah akan Daud dan segala deritanya. 2 Betapa dia bersumpah kepada TUHAN dan berjanji kepada Yang Maha Perkasa, Allah Yakub: 3 “Sesungguhnya, aku tidak akan masuk ke bilik rumahku atau baring di tempat tidurku yang selesa – 4 Aku tidak akan membenarkan mataku lena, atau kelopak mataku lelap, 5 hingga aku dapat mencari tempat untuk TUHAN, tempat kediaman untuk Yang Maha Perkasa, Allah Yakub.” 6 Ketahuilah, kami mendengar tentangnya di Efrata, kami menjumpainya di padang di tengah-tengah Yaar: 7 “Marilah kita masuk ke dalam khemah-Nya; marilah kita menyembah-Nya di alas kaki-Nya — 8 bangkitlah, ya TUHAN, ke tempat peristirahatan-Mu, Engkau dan tabut kekuatan-Mu. 9 Biarlah imam-imam-Mu berpakaian perbenaran; dan biarlah umat-Mu yang warak bersorak bahagia.” 10 Untuk kesejahteraan hamba-Mu Daud, janganlah singkirkan wajah orang yang Kauurapi. 11 TUHAN telah bersumpah dengan benar kepada Daud, TUHAN tidak akan mungkir: “Aku akan mendudukkan anak-anakmu di atas takhtamu — 12 jika anak-anakmu memegang janji-Ku dan peraturan-Ku yang akan Kuajarkan kepada mereka, anak-anak mereka juga akan duduk di atas takhtamu selama-lamanya.” 13 Kerana TUHAN telah memilih Sion, Dia telah menghendakinya sebagai tempat kediaman-Nya: 14 “Inilah tempat peristirahatan-Ku untuk selama-lamanya; di sini Aku akan tinggal, kerana Aku menghendakinya — 15 Aku akan melimpahkan berkat ke atas sumber makanannya; Aku akan mengenyangkan orang miskinnya dengan roti. 16 Aku juga akan memakaikan imam-imamnya dengan penyelamatan, dan orangnya yang salih akan bersorak bahagia. 17 Di situ Aku akan membuat tanduk Daud bertumbuh; Aku akan menyediakan lampu untuk dia yang Kuurapi. 18 Musuhnya akan Kumalukan, tetapi pada dirinya mahkota akan berkekalan.” |