Mazmur 119 - Alkitab Versi Borneo1 Diberkatilah orang yang tidak tercela jalannya, yang melangkah menurut hukum TUHAN. 2 Diberkatilah mereka yang mematuhi peraturan-Nya, yang mencari-Nya dengan sepenuh hati. 3 Mereka juga tidak melakukan dosa; mereka melangkah menurut jalan-Nya. 4 Engkau telah memerintahkan kami supaya mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan bersungguh-sungguh. 5 Oh, kalaulah cara-caraku ditujukan ke arah mematuhi ketetapan-Mu! 6 Maka tidaklah aku malu apabila aku meneliti segala perintah-Mu. 7 Aku akan memuji-Mu dengan tulus hati apabila kupelajari hukum-Mu yang benar. 8 Aku akan mematuhi ketetapan-Mu; janganlah tinggalkan aku selama-lamanya. 9 Bagaimanakah seorang pemuda menyucikan jalannya? Dengan berhati-hati menurut firman-Mu. 10 Dengan sepenuh hatiku aku telah mencari-Mu; janganlah biarkan aku menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. 11 Firman-Mu telah kusimpan baik-baik dalam hatiku supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu. 12 Terpujilah Engkau, ya TUHAN; ajarlah aku ketetapan-Mu. 13 Dengan bibirku telah kuisytiharkan segala hukum yang Kaufirmankan. 14 Aku telah bergembira dengan cara peraturan-Mu seperti dengan segala kekayaan. 15 Aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu dan memikirkan cara-cara-Mu. 16 Aku akan menikmati ketetapan-Mu; aku tidak akan melupakan firman-Mu. 17 Limpahkanlah kurnia-Mu kepada hamba-Mu; supaya aku dapat hidup dan mematuhi firman-Mu. 18 Bukakanlah mataku supaya aku dapat melihat hal-hal yang menakjubkan daripada hukum-Mu. 19 Aku orang asing di bumi; janganlah sembunyikan perintah-perintah-Mu daripadaku. 20 Jiwaku resah mengingini hukum-hukum-Mu setiap waktu. 21 Engkau memarahi orang sombong yang dilaknati, yang menyimpang daripada perintah-perintah-Mu. 22 Bebaskan aku daripada celaan dan hinaan, kerana aku telah mematuhi peraturan-Mu. 23 Raja-raja juga duduk mengataku, tetapi hamba-Mu merenung ketetapan-Mu. 24 Peraturan-Mu juga memberiku nikmat dan bimbingan. 25 Jiwaku melekap ke debu; pulihkanlah aku menurut firman-Mu. 26 Aku telah mengakui gerak-geriku dan Engkau telah menjawabku; ajarlah aku ketetapan-Mu. 27 Biarlah aku mengerti jalan ajaran-ajaran-Mu; supaya aku merenung perbuatan-Mu yang menakjubkan. 28 Jiwaku lebur ditekan kemuraman; teguhkanlah aku menurut firman-Mu. 29 Bebaskan aku daripada jalan dusta; dan berilah aku hukum-Mu dengan limpah kasih kurnia. 30 Aku telah memilih jalan kebenaran; hukum-hukum-Mu telah kuletakkan di hadapanku. 31 Aku berpegang teguh pada peraturan-Mu; Ya TUHAN, jangan malukan aku. 32 Aku akan terus-menerus mematuhi perintah-perintah-Mu, kerana Engkau melapangkan hatiku. 33 Ajarlah aku, ya TUHAN, jalan ketetapan-Mu; aku akan mematuhinya hingga ke akhir. 34 Berilah aku pengertian, aku akan mematuhi hukum-Mu; sesungguhnya, aku akan mentaatinya dengan sepenuh hatiku. 35 Biarlah aku melangkah di jalan perintah-perintah-Mu, kerana aku bahagia dengannya. 36 Cenderungkanlah hatiku kepada peraturan-Mu, bukan kepada ketamakan. 37 Alihkanlah mataku daripada memandang segala yang tidak berfaedah; dan pulihkan aku di jalan-Mu. 38 Tegakkan firman-Mu bagi hamba-Mu, yang sepenuh hari takut kepada-Mu. 39 Palingkan daripadaku celaan yang kutakuti, kerana hukum-hukum-Mu baik. 40 Sesungguhnya, aku merindui ajaran-ajaran-Mu! Pulihkan aku dalam perbenaran-Mu. 41 Biarlah kasih setia-Mu juga datang kepadaku, ya TUHAN, penyelamatan-Mu menurut janji-Mu; 42 dengan demikian aku akan mempunyai jawapan untuk orang yang mencelaku, kerana kusandarkan kepercayaan kepada firman-Mu. 43 Janganlah singkirkan kata benar daripada mulutku, kerana aku berharap kepada hukum-Mu. 44 Dengan demikian aku akan tetap mematuhi hukum-Mu, selama-lamanya. 45 Dan aku akan melangkah dengan bebas, kerana aku mencari ajaran-ajaran-Mu. 46 Aku akan berbicara tentang peraturan-Mu juga di hadapan raja-raja dan tidak akan malu, 47 dan aku akan berbahagia dengan perintah-perintah-Mu yang kukasihi. 48 Aku mengangkat tanganku kepada perintah-perintah-Mu yang dikasihi, dan aku akan merenung ketetapan-Mu. 49 Ingatlah firman-Mu kepada hamba-Mu, dengannya Engkau telah memberiku harapan. 50 Inilah yang melipurkan aku dalam kesakitanku: Firman-Mu memberiku hidup. 51 Orang yang sombong mentertawakan aku, namun aku tidak berpaling daripada hukum-Mu. 52 Aku ingat akan hukum-hukum-Mu dahulu, Ya TUHAN, dan aku melipurkan diriku. 53 Kemarahan telah memenuhiku kerana orang zalim, yang meninggalkan hukum-Mu. 54 Ketetapan-Mu telah menjadi nyanyianku dalam perjalanan ibadatku. 55 Aku ingat akan nama-Mu pada waktu malam, Ya TUHAN, dan aku mematuhi hukum-Mu. 56 Ini telah menjadi milikku: kerana aku telah mematuhi ajaran-ajaran-Mu. 57 Engkaulah yang ada padaku, ya TUHAN; aku telah berjanji untuk mematuhi firman-Mu. 58 Aku memohon keredaan-Mu dengan sepenuh hatiku; kasihanilah aku menurut firman-Mu. 59 Aku memikirkan gerak-geriku lalu aku melangkah ke arah peraturan-Mu. 60 Aku bertindak segera, aku tidak berlengah-lengah mematuhi perintah-perintah-Mu. 61 Tali orang zalim telah mengikatku, tetapi aku tidak melupakan hukum-Mu. 62 Pada tengah malam aku akan bangun untuk mengucap syukur kepada-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar. 63 Aku teman kepada semua yang takut kepada-Mu, dan mereka yang mematuhi ajaran-ajaran-Mu. 64 Bumi ini, ya TUHAN, penuh dengan kasih-Mu; ajarlah aku ketetapan-Mu. 65 Engkau telah memperlakukan hamba-Mu dengan baik, Ya TUHAN, menurut firman-Mu. 66 Ajarlah aku pengetahuan dan pertimbangan yang baik, kerana aku percaya kepada perintah-perintah-Mu. 67 Sebelum aku ditimpa kesusahan, aku menyeleweng, tetapi sekarang aku mematuhi firman-Mu. 68 Engkau baik, dan berbuat baik; ajarlah aku ketetapan-Mu. 69 Orang yang sombong telah berbuat dusta tentangku, tetapi aku akan mematuhi ajaran-ajaran-Mu dengan sepenuh hatiku. 70 Hati mereka setebal lemak, tetapi aku bahagia dengan hukum-Mu. 71 Kesusahan yang menimpaku baik bagiku kerananya aku mempelajari ketetapan-Mu. 72 Hukum yang Kaufirmankan lebih baik bagiku daripada ribuan keping wang emas dan perak. 73 Tangan-Mu telah menciptaku dan membentukku; berilah aku pengertian supaya aku dapat mempelajari perintah-perintah-Mu. 74 Mereka yang takut kepada-Mu akan bersukacita apabila melihatku, kerana aku telah menyandarkan harapan kepada firman-Mu. 75 Aku tahu, ya TUHAN, bahawa hukum-hukum-Mu benar, dan kerana kesetiaan-Mu Engkau telah menimpakan kesusahan ke atasku. 76 Aku berdoa, biarlah kasih setia-Mu melipurkan aku, menurut janji-Mu kepada hamba-Mu. 77 Limpahkanlah belas kasih-Mu kepadaku supaya aku dapat hidup, kerana hukum-Mu bahagiaku. 78 Biarlah orang yang sombong menanggung malu kerana mereka telah menzalimiku dengan fitnah; tetapi aku akan merenung ajaran-ajaran-Mu. 79 Biarlah mereka yang takut kepada-Mu berpaling kepadaku, mereka yang mengetahui peraturan-Mu. 80 Biarlah hatiku tidak bercela terhadap ketetapan-Mu, supaya aku tidak menanggung malu. 81 Jiwaku lesu merindui penyelamatan-Mu, tetapi kusandarkan harapan kepada firman-Mu. 82 Mataku kabur mencari firman-Mu; dan aku berkata, “Bilakah Engkau akan melipurkan aku?” 83 Kerana aku telah menjadi seperti kirbat yang diasapi, namun aku tidak melupakan ketetapan-Mu. 84 Berapa lamakah hamba-Mu akan menunggu? Bilakah Engkau akan menghukum mereka yang menganiaya aku? 85 Orang yang sombong telah menggali lubang untukku, ini tidak menurut hukum-Mu. 86 Semua perintah-Mu benar; mereka bersalah menganiaya aku; tolonglah aku. 87 Mereka hampir menamatkan riwayatku di bumi ini, tetapi aku tidak meninggalkan ajaran-ajaran-Mu. 88 Pulihkan aku dengan kasih sayang-Mu, supaya aku mematuhi peraturan yang Kaufirmankan. 89 Untuk selama-lamanya, ya TUHAN; firman-Mu bertapak di syurga. 90 Kesetiaan-Mu kekal zaman-berzaman; Engkau mengasaskan bumi dan ia tetap ada. 91 Segalanya berterusan hari ini menurut peraturan-Mu, kerana semuanya hamba-Mu. 92 Kalaulah tidak kerana hukum-Mu bahagiaku, tentulah aku binasa menanggung penderitaan. 93 Aku tidak akan melupakan ajaran-ajaran-Mu selama-lamanya, kerana dengannya Engkau telah memberiku hidup. 94 Aku milik-Mu, selamatkanlah aku; kerana aku telah mencari ajaran-ajaran-Mu. 95 Orang zalim menantiku untuk memusnahkanku, tetapi aku akan memikirkan peraturan-Mu. 96 Aku telah melihat kemuncak segala kesempurnaan; tetapi perintah-Mu maha luas. 97 Oh, betapa kucintai hukum-Mu! Aku merenungnya sepanjang hari. 98 Engkau, melalui perintah-perintah-Mu, menjadikan aku lebih bijaksana daripada musuhku, kerana perintah-perintah-Mu sentiasa bersamaku. 99 Aku mempunyai pengertian yang lebih dalam daripada semua guruku, kerana peraturan-Mu menjadi renunganku. 100 Aku mengerti lebih daripada penatuaku, kerana aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. 101 Aku telah mengawal kakiku daripada setiap jalan kejahatan supaya aku dapat mematuhi firman-Mu. 102 Aku tidak menyimpang daripada hukum-hukum-Mu, kerana Engkau sendiri telah mengajarku. 103 Betapa manisnya kata-kata-Mu bagiku, lebih manis daripada madu bagi lidahku! 104 Melalui ajaran-ajaran-Mu aku mendapat pengertian; oleh itu, aku membenci setiap jalan yang palsu. 105 Firman-Mu lampu bagi kakiku dan cahaya bagi jalanku. 106 Aku telah bersumpah dan menegaskan, bahawa aku akan mematuhi hukum-hukum-Mu yang benar. 107 Aku menanggung kesusahan yang amat berat; pulihkanlah aku, ya TUHAN, menurut firman-Mu. 108 Aku berdoa, terimalah puji-pujianku yang kupersembahkan dengan sepenuh kerelaan, ya TUHAN, dan ajarlah aku hukum-hukum-Mu. 109 Nyawaku sentiasa terancam, namun aku tidak melupakan hukum-Mu. 110 Orang zalim telah memasang jerat untukku, namun aku tidak menyimpang daripada ajaran-ajaran-Mu. 111 Peraturan-Mu telah kuambil sebagai warisan selama-lamanya; kerana ia menggembirakan hatiku. 112 Aku telah mencenderungkan hatiku untuk menjalankan ketetapan-Mu selama-lamanya, hingga ke akhir. 113 Aku membenci orang yang curang, tetapi aku mencintai hukum-Mu. 114 Engkaulah perlindunganku dan perisaiku; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu. 115 Pergilah daripadaku, hai orang yang berbuat jahat, kerana aku akan mematuhi perintah-perintah Allahku! 116 Teguhkanlah aku menurut firman-Mu, supaya aku dapat hidup; dan jangan biarkan aku malu kerana harapanku. 117 Tegakkanlah aku, maka aku akan selamat; dan aku akan sentiasa mentaati ketetapan-Mu. 118 Engkau menolak kesemua mereka yang menyimpang daripada ketetapan-Mu, kerana mereka memperdaya dan itu adalah pendustaan. 119 Engkau menyingkirkan semua orang zalim di bumi seperti barang tidak berguna; oleh itu, aku mencintai peraturan-Mu. 120 Tubuhku gementar kerana takut kepada-Mu; dan aku takut akan penghakiman-Mu. 121 Aku telah melakukan keadilan dan kebenaran; janganlah tinggalkan aku di tangan penindasku. 122 Jadilah penjamin hamba-Mu; jangan biarkan orang sombong menindasku. 123 Mataku kabur mencari penyelamatan-Mu, dan mencari firman-Mu yang benar. 124 Perlakukan hamba-Mu berdasarkan kasih setia-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu. 125 Aku hamba-Mu; berilah aku pengertian supaya aku dapat mengetahui peraturan-Mu. 126 Sudah sampai masanya Engkau bertindak, ya TUHAN, kerana mereka menganggap hukum-Mu batal. 127 Justeru aku mencintai perintah-perintah-Mu lebih daripada emas, ya, daripada emas tulen, 128 justeru semua ajaran-Mu tentang semua perkara kuanggap benar, aku membenci setiap jalan yang palsu. 129 Peraturan-Mu menakjubkan; oleh itu jiwaku mematuhinya. 130 Kedatangan firman-Mu membawa cahaya; memberi pengertian kepada orang yang tulus. 131 Aku membuka mulut dan tercungap-cungap, kerana aku merindui perintah-perintah-Mu. 132 Pandanglah aku dan kasihanilah aku, sebagaimana yang biasa Kaulakukan kepada mereka yang mencintai nama-Mu. 133 Pandulah langkahku dengan firman-Mu; dan jangan biarkan dosa menguasaiku. 134 Lepaskan aku daripada penindasan manusia, supaya aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu. 135 Limpahkanlah sinar wajah-Mu ke atas hamba-Mu dan ajarlah aku ketetapan-Mu. 136 Air mataku mengalir laksana sungai, kerana manusia tidak mematuhi hukum-Mu. 137 Maha Benar Engkau, ya TUHAN, dan adil semua penghakiman-Mu. 138 Peraturan-Mu yang telah Kauperintahkan benar dan sungguh setia. 139 Semangatku telah membakar hatiku, kerana musuhku telah melupakan firman-Mu. 140 Janji-Mu sudah teruji, dan hamba-Mu mencintainya. 141 Aku daif dan dihina, namun aku tidak melupakan ajaran-ajaran-Mu. 142 Keadilan-Mu kekal selama-lamanya dan hukum-Mu benar. 143 Kesusahan dan kekhuatiran telah menyelubungiku, namun perintah-perintah-Mu bahagiaku. 144 Peraturan-Mu benar selama-lamanya; berilah aku pengertian, maka aku akan hidup. 145 Aku berseru dengan sepenuh hatiku; dengarlah aku, ya TUHAN, Aku akan mematuhi ketetapan-Mu. 146 Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku, maka aku akan mematuhi peraturan-Mu. 147 Aku bangun sebelum fajar menyingsing, lalu berseru memohon pertolongan; aku menyandarkan harapan kepada firman-Mu. 148 Aku bercekang mata sepanjang malam, supaya dapat merenung janji-Mu. 149 Dengarlah suaraku dengan kasih-Mu; ya TUHAN, pulihkanlah hidupku menurut hukum-Mu. 150 Mereka yang mengikut jalan kejahatan semakin dekat, mereka telah menjauhi hukum-Mu. 151 Namun Engkau dekat, ya TUHAN, dan semua perintah-Mu ialah kebenaran. 152 Tentang peraturan-Mu, aku telah tahu dari dahulu bahawa Engkau mengasaskannya untuk selama-lamanya. 153 Pertimbangkanlah kesakitanku dan lepaskanlah aku, kerana aku tidak melupakan hukum-Mu. 154 Belalah dan tebuslah aku; pulihkanlah hidupku menurut janji-Mu. 155 Penyelamatan jauh daripada orang zalim, kerana mereka tidak mencari ketetapan-Mu. 156 Sungguh limpah belas kasih-Mu, ya TUHAN; pulihkanlah hidupku menurut hukum-hukum-Mu. 157 Besar bilangan penganiayaku dan musuhku, namun aku tidak berpaling daripada peraturan-Mu. 158 Aku melihat orang yang khianat dan aku berasa meluat, kerana mereka tidak mematuhi firman-Mu. 159 Pertimbangkanlah betapa aku mencintai ajaran-ajaran-Mu; pulihkanlah hidupku, ya TUHAN, dengan kasih-Mu. 160 Seluruh firman-Mu benar; dan seluruh hukum-Mu yang benar kekal selama-lamanya. 161 Raja-raja menganiaya aku tanpa sebab, tetapi hatiku mengagumi firman-Mu. 162 Aku bergembira dengan janji-Mu umpama orang yang menjumpai harta yang amat bernilai. 163 Aku benci dan jijik kepada pendustaan tetapi aku mencintai hukum-Mu. 164 Tujuh kali sehari aku memuji-Mu kerana hukum-hukum-Mu yang benar. 165 Sungguh besar kesejahteraan mereka yang mencintai hukum-Mu, dan tiada suatu pun menyebabkan mereka tergelincir. 166 Ya, TUHAN, aku mengharapkan penyelamatan-Mu, dan aku menjalankan perintah-perintah-Mu. 167 Jiwaku mematuhi peraturan-Mu, dan aku sungguh mencintainya. 168 Aku mematuhi ajaran-ajaran-Mu dan peraturan-Mu, kerana semua langkahku terbentang di hadapan-Mu. 169 Biarlah seruanku datang ke hadirat-Mu, ya TUHAN; berilah aku pengertian menurut firman-Mu. 170 Biarlah permohonanku datang ke hadirat-Mu; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. 171 Bibirku akan melafazkan pujian, kerana Engkau mengajarku ketetapan-Mu. 172 Lidahku akan bertutur tentang firman-Mu, kerana semua perintah-Mu ialah kebenaran. 173 Biarlah tangan-Mu menolongku, kerana aku telah memilih ajaran-ajaran-Mu. 174 Aku merindui penyelamatan-Mu, ya TUHAN, dan hukum-Mu kebahagiaanku. 175 Biarlah jiwaku hidup, maka ia akan memuji-Mu, dan biarlah hukum-hukum-Mu menolongku. 176 Aku telah tersesat seperti domba yang hilang. Carilah hamba-Mu, kerana aku tidak melupakan perintah-perintah-Mu. |