Mazmur 115 - Alkitab Versi Borneo1 Bukan kepada kami, ya TUHAN, bukan kepada kami tetapi kepada nama-Mu berilah kemuliaan, kerana kasih-Mu, kerana kesetiaan-Mu. 2 Mengapa bangsa-bangsa harus berkata, “Di mana Allah mereka?” 3 Namun Allah kami di syurga; Dia melakukan apa yang disukai-Nya. 4 Berhala mereka daripada perak dan emas, buatan tangan manusia. 5 Berhala itu ada mulut tetapi tidak berkata-kata, ada mata, tetapi tidak melihat; 6 ada telinga, tetapi tidak mendengar, ada hidung, tetapi tidak menghidu; 7 ada tangan, tetapi tidak memegang, ada kaki, tetapi tidak berjalan; juga tidak bersuara dari kerongkongnya. 8 Orang yang membuatnya serupalah dengannya, demikian juga semua yang percaya kepadanya. 9 Hai kaum Israel, percayalah kepada TUHAN — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. 10 Hai keturunan Harun, percayalah kepada TUHAN — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. 11 Kamu yang takut akan TUHAN, percayalah kepada-Nya — Dialah penolong dan perisai pelindungmu. 12 TUHAN ingat kepada kita, Dia akan memberkati kita: Dia akan memberkati keturunan kaum Israel, Dia akan memberkati keturunan kaum Harun, 13 Dia akan memberkati semua yang takut akan TUHAN — baik yang berkedudukan rendah atau tinggi. 14 Semoga TUHAN memberimu semakin banyak keturunan, kamu dan anak-anakmu. 15 Semoga kamu diberkati oleh TUHAN, yang menjadikan langit dan bumi. 16 Langit, malah seluruh angkasa, ialah milik TUHAN, tetapi bumi telah diberikan-Nya kepada anak-anak manusia. 17 Orang mati tidak memuji TUHAN, orang yang sudah turun ke alam sunyi; 18 tetapi kita akan menyanjung TUHAN, dari saat ini dan untuk selama-lamanya. Pujilah TUHAN! |