Biblia Todo Logo
Bìoball air-loidhne

- Sanasan -

Mazmur 103 - Alkitab Versi Borneo


Mazmur Daud.

1 Pujilah TUHAN, wahai jiwaku; dan segala yang dalamku, pujilah nama-Nya yang suci.

2 Pujilah TUHAN, wahai jiwaku, dan jangan lupakan segala rahmat-Nya —

3 Dia mengampunkan segala dosamu, Dia menyembuhkan segala penyakitmu,

4 Dia menebus nyawamu daripada kemusnahan, Dia memahkotakanmu dengan kasih sayang dan belas kasih,

5 Dia memuaskan hasratmu dengan yang baik supaya usia mudamu dibaharui seperti burung rajawali.

6 TUHAN menjalankan perbenaran dan keadilan bagi semua yang tertindas.

7 Dia memberitahu jalan-Nya kepada Musa, perbuatan-Nya kepada kaum Israel:

8 TUHAN penuh belas kasihan dan kasih kurnia, panjang sabar serta melimpah kasih-Nya.

9 Dia tidak sentiasa memarahi kita, dan tidak menyimpan kemarahan-Nya untuk selama-lamanya;

10 Dia tidak memperlakukan kita berdasarkan dosa kita dan tidak menghukum kita setimpal dengan kesalahan kita.

11 Kerana sebagaimana tingginya langit di atas bumi, demikianlah limpah kasih-Nya kepada orang yang takut kepada-Nya;

12 sebagaimana jauhnya timur dari barat, begitulah jauhnya Dia telah membuang keingkaran kita daripada diri kita.

13 Sebagaimana bapa mengasihani anak-anak, demikianlah TUHAN mengasihani orang yang takut kepada-Nya;

14 kerana Dia tahu bagaimana kita dibentuk, Dia ingat bahawa kita ialah debu.

15 Hidup manusia seperti rumput, seperti bunga di padang, begitulah dia berkembang;

16 angin meniupnya, maka tiadalah dia lagi, dan tempatnya dahulu tidak mengingatinya.

17 Tetapi kasih TUHAN dari selama-lamanya sampai selama-lamanya bagi mereka yang takut kepada-Nya, dan perbenaran-Nya sampai anak cucu,

18 kepada mereka yang mematuhi perjanjian-Nya dan kepada mereka yang mengingati ajaran-ajaran-Nya.

19 TUHAN telah menempatkan takhta-Nya di syurga, dan kerajaan-Nya memerintah semua yang ada.

20 Pujilah TUHAN, hai kamu para malaikat-Nya yang amat gagah perkasa, yang menjalankan firman-Nya dan sentiasa mendengar suara firman-Nya.

21 Pujilah TUHAN, hai semua angkatan syurga-Nya, kamu para hamba-Nya yang melakukan apa yang diredai-Nya.

22 Pujilah TUHAN, segala hasil kerja-Nya di semua tempat yang dikuasai-Nya. Pujilah TUHAN, wahai jiwaku.

Alkitab Versi Borneo

Hak cipta © 2015 Borneo Sabda Limited

Borneo Sabda Limited
Lean sinn:



Sanasan