Mazmur 102 - Alkitab Versi BorneoDoa seorang derita apabila dia lemah dan mencurahkan kesusahannya kepada TUHAN. 1 Dengarlah doaku, ya TUHAN; dan biarlah seruanku datang kepada-Mu. 2 Janganlah sembunyikan wajah-Mu daripadaku semasa aku dalam kesusahan. Condongkan telinga-Mu kepadaku; ketika aku berseru, jawablah aku segera. 3 Kerana setiap hari dalam hidupku hilang seperti asap; dan tulang-tulangku dibakar seperti di tempat berdiang. 4 Hatiku sakit dan layu seperti rumput; sehingga aku terlupa makan rotiku. 5 Kerana aku mengerang, tulangku melekat ke kulitku. 6 Aku seperti burung hantu di gurun, seperti burung hantu di runtuhan. 7 Aku tidak dapat melelapkan mata; berbaring seperti burung pipit kesepian di bumbung rumah. 8 Musuhku mencelaku sepanjang hari; mereka yang mencemuhku mengangkat sumpah memfitnahku. 9 Aku telah makan abu seperti roti dan minumanku bercampur air mata 10 kerana kemarahan dan kemurkaan-Mu, kerana Engkau telah mengangkatku, kemudian menghumbankan aku. 11 Hidupku seperti bayang-bayang memanjang; dan aku layu seperti rumput. 12 Tetapi Engkau, ya TUHAN, akan kekal selama-lamanya; dan nama-Mu diingati turun-temurun zaman-berzaman. 13 Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion, kerana saat untuk meredainya; ya, saat yang ditentukan, telah tiba. 14 Kerana hamba-hamba-Mu menghargai batu-batunya; dan berasa kasihan akan debunya. 15 Maka bangsa-bangsa akan takut kepada nama TUHAN, dan raja-raja dunia gentar akan kemuliaan-Mu. 16 TUHAN akan membina Sion Dia akan menampakkan diri dalam kemuliaan-Nya. 17 Dia akan menimbangkan doa orang papa; dan tidak akan menghina permohonan mereka. 18 Ini akan disuratkan untuk keturunan akan datang, supaya umat yang belum lahir akan memuji TUHAN: 19 “Dia memandang ke bawah dari tempat suci-Nya, dari syurga TUHAN memerhatikan bumi, 20 untuk mendengar rintihan orang yang dipenjarakan, untuk membebaskan mereka yang dihukum mati.” 21 Untuk mengisytiharkan nama TUHAN di Sion dan pujian untuk-Nya di Yerusalem 22 apabila umat-umat berhimpun dan kerajaan-kerajaan berhimpun untuk beribadat kepada TUHAN. 23 Dia melemahkan kekuatanku dalam hidup; Dia memendekkan umurku. 24 Aku berkata: “Ya Allahku, janganlah ambil aku pada separuh umurku; masa-Mu meliputi semua keturunan. 25 Pada mulanya, Engkau meletakkan asas bumi, dan seluruh langit adalah hasil kerja tangan-Mu. 26 Bumi dan langit akan binasa, tetapi Engkau kekal; ya, segalanya akan menjadi usang seperti pakaian. Seperti jubah Engkau akan menggulungnya, seperti baju yang ditukar, semuanya akan diubah. 27 Tetapi Engkau tetap sama, dan tahun-tahun-Mu tidak berkesudahan. 28 Anak hamba-hamba-Mu akan berterusan; dan anak cucu mereka akan berdiri di hadirat-Mu.” |