Mazmur 52 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Renungan Daud ketika Do'eg, orang Edom, memberitahu Saul: “Daud telah pergi ke rumah Ahimelekh.” 1 Mengapa kaubanggakan kejahatanmu, hai orang berkuasa? Mengapa engkau sombong sepanjang hari, hai orang yang bermegah di hadapan Allah? 2 Lidahmu merancang kebinasaan; seperti pisau cukur yang tajam, melakukan penipuan. 3 Engkau lebih mencintai kejahatan daripada kebaikan, berdusta lebih daripada bercakap benar. Sela 4 Engkau mencintai kata-kata yang membinasakan, Hai lidah berdusta! 5 Oleh itu, Allah akan membinasakan kamu untuk selama-lamanya: Dia akan menyeretmu pergi, meragutmu dari rumah; dan mencabutmu dari tanah orang yang hidup. Sela 6 Orang yang benar akan melihat ini dan berasa takut; mereka akan mencemuh dengan berkata, 7 “Inilah orang yang tidak menjadikan Allah kekuatannya tetapi percaya akan kekayaannya yang bertimbun lalu menguatkan dirinya dalam kejahatan!” 8 Tetapi aku seperti pokok zaitun yang hijau di Rumah Allah; aku percaya akan kasih setia Allah selama-lamanya. 9 Aku akan memuji-Mu selama-lamanya kerana segala yang telah Kaulakukan; aku akan percaya kepada nama-Mu yang penuh kebaikan. Di hadapan umat-Mu yang warak, aku akan memuji-Mu. |