Mazmur 36 - Alkitab Versi BorneoUntuk pemimpin muzik. Mazmur Daud, hamba TUHAN. 1 Satu nubuat dalam hatiku tentang keingkaran orang zalim: rasa takut terhadap Allah tiada di jiwanya. 2 Kerana dia memuliakan dirinya dalam pandangannya sehingga dia tidak tahu keingkarannya dan berasa kebencian. 3 Kata-kata daripada mulutnya zalim dan dusta; dia tidak lagi bijaksana dan berbuat baik. 4 Dia merancang kejahatan di tempat tidurnya; dia mengikut jalan yang tidak baik, dia tidak membenci kejahatan. 5 Kasih-Mu, ya TUHAN, menjangkau langit, kesetiaan-Mu mencecah awan. 6 Perbenaran-Mu setinggi gunung, penghakiman-Mu sedalam lautan. Ya TUHAN, Engkau melindungi manusia dan haiwan. 7 Betapa berharganya kasih setia-Mu, ya Allah! Oleh itu, anak manusia berlindung di bawah bayangan sayap-Mu. 8 Mereka dijamu sehingga puas dari limpahan kurnia rumah-Mu; dan Kauberi mereka minum dari sungai nikmat-Mu. 9 Kerana pada-Mu pancuran hidup; dalam cahaya-Mu kami melihat cahaya. 10 Teruskanlah kasih-Mu kepada mereka yang mengenal-Mu, dan perbenaran-Mu kepada mereka yang tulus hati. 11 Jangan biarkan kaki orang yang angkuh menerajangku, dan jangan biarkan tangan orang zalim mengusirku. 12 Lihatlah, orang yang melakukan kejahatan telah jatuh — mereka telah digulingkan dan tidak berdaya bangkit lagi! |